Friday, March 20, 2020

TUJUAN PENGURUSAN BILIK DARJAH ( SITI NUR AYUNIE BT RAMJAN)

1. Memantau situasi dan keadaan kelas sama persekitaran pembelajaran ataupun pembelajaran berkumpulan dapat membantu pelajar untuk meningkatkan kemahiran tertentu.

2. Menggalakkan pelajar menuntut ilmu dengan selesa melalui penyediaan dan pengurusan kemudahan pembelajaran serta perabot-perabot di dalam kelas seperti meja,  papan putih dan juga kerusi.

3. Memupuk dan membimbing pelajar mengikut ciri-ciri sosial  ekonomi dan juga kebudayaan.

4. Memastikan sistem organisasi dalam kelas terancang dan juga teratur.

5.  Memastikan interaksi PnP berjalan dengan lancar seterusnya membantu pelajar memperolehi hasil pembelajaran  secara menyeluruh.






PENDAPAT 

Pada pendapat saya, pengurusan bilik darjah yang dilaksanakan di Malaysia adalahlebih baik jika dibandingkan dengan negara luar seperti Afrika. Para pelajar disediakan dengan pelbagai fasiliti yang memudahkan mereka dan guru-guru untuk melaksanakan proses pengajaran dan pembelajaran di sekolah. Bilik darjah yang disediakan juga cukup selesa dengan kelengkapan seperti meja dan kerusi malah alatan pembersihan juga turut terdapat di setiap kelas. Kapisiti pelajar di dalam setiap kelas juga agak memuaskan kerana bilangan pelajar di dalam setiap kelas adalah sesuai yang mana tidak terlalu ramai. Malaysia mempunyai persamaan dengan negara Jepun dalam menguruskan bilik darjah yang mana pelajar akan disediakan bilik darjah dan seorang guru kelas akan bertanggungjawab menjaga kebersihan dan keceriaan bilik darjah. Seiring dengan pelaksanaan pengajaran dan pembelajaran abad ke-21,para pelajar menjadi lebih kreatif dan sifat kerjasama dapat ditanam dalam diri mereka bagi memastikan kelas mereka penuh dengan maklumat yang berguna, selesa dan lebih ceria. Terdapat juga idea- idea seperti susunan meja dan kerusi yang lebih sesuai dilaksanakan bagi mematuhi garis panduan pembelajaran dan pengajaran abad ke -21 iaitu belajar secara berkumpulan.

Bukan itu sahaja, alat bantu mengajar yang disediakan oleh setiap sekolah di Malaysia juga mampu menarik perhatian para pelajar. Hal ini demikian kerana, kebanyakan sekolah telahpun menggunakan teknologi terkini bagi menggalakkan perkembangan otak pelajar di samping membantu mereka dalam meneroka sesuatu yang baharu.  Pengalaman ini tidak dapat dijangkau oleh pelajar yang berada di negara Afrika kerana mengalami kekangan seperti ketiadaan elektik yang mana menghalang mereka untuk mengakses pelbagai informasi.  Selain itu, sistem pengajaran dan pembelajaran di Malaysia juga dapat dijalankan secara kondusif dengan adanya Skim Pinjaman Buku Teks (SPBT) yang disediakan oleh kerajaan.  Negara kita adalah sebuah negara yang bertuah kerana Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) amat menitikberatkan prestasi pelajar dengan menyalurkan pelbagai kemudahan kepada pihak sekolah. Berbanding negara Jepun, pelajar terpaksa mengeluarkan wang untuk membeli buku. Manakala di Afrika pula, hanya terdapat sebilangan sahaja yang mendapat pinjaman buku teks daripada pihak sekolah disebabkan oleh keadaan ekonomi di negara itu sendiri. Situasi ini  secara tidak langsung dapat meningkatkan kadar pelajar buta huruf kerana kurangnya aktiviti membaca di rumah.

Bagi pengurusan disiplin dalam bilik darjah pula, sekolah-sekolah di Malaysia telah melakukan pelbagai alternatif bagi memastikan pelajar mematuhi peraturan yang telah ditetapkan. Dengan adanya solusi seperti ini, pelajar akan lebih peka terhadap tindakan mereka semasa proses pengajaran dan pembelajaran dijalankan ataupun ketika ketiadaan guru di kelas.  Situasi ini berbeza dengan negara Jepun yang mana, negara berkenaan lebih menerapkan nilai kerjasama dalam kelas iaitu bergotong royong bersama rakan-rakan selepas waktu persekolahan.  Kedua-dua negara ini dapat dijadikan contoh dalam mengawal aktiviti dan pergerakan pelajar.  Namun begitu, negara Afrika masih tidak mampu mengawal disiplin para pelajar mereka.  Menurut South African Journal Of Education, guru-guru yang berada di sekolah tertentu kurang mengetahui langkah yang sesuai untuk membendung masalah disiplin.  Impaknya, ramai pelajar masih menunjukkan sikap negatif semasa berada di dalam kelas yang mana ianya menjadi keluhan para guru.


Konklusinya, pengurusan bilik darjah yang dilaksanakan di Malaysia adalah baik kerana merangkumi pelbagai strategi yang boleh diaplikasikan bagi melangsungkan pembelajaran secara teratur dan juga terkawal.  Secara tidak langsung, ia dapat meningkat mutu pendidikan di Malaysia setanding dengan negara-negara maju seperti Jepun, Amerika Syarikat dan juga Finland menerusi penggunaan teknologi sebagai medium pembelajaran. Bukan itu sahaja, melalui pengurusan bilik darjah juga, guru-guru Malaysia dapat melahirkan pelajar yang berwibawa dan juga bertanggungjawab.

















No comments:

Post a Comment